AsPer 15 |
Hai semua!Okay hari ini Yeen nak cerita pengalaman sebagai pelajar Asasi Sains Pertanian UPM. Satu perkataan yang boleh menggambarkan pengalaman Yeen sepanjang menjadi pelajar asasi upm iaitu MENARIK!
Selepas Yeen sebut perkataan menarik, mesti pembaca tertanya-tanya apa yang menariknya di UPM, universiti lain pun ada juga asasi sebagai contoh UM, UIA dan sebagainya. Okay, sebelum itu Yeen nak pesan yang ini merupakan PENGALAMAN YEEN, mungkin bagi orang lain berbeza pengalaman yang ada.
Okay berbalik kepada kenyataan menarik yang Yeen sebut tadi,anda semua perlu tahu kenapa Yeen kata bahawa menjadi pelajar AsPer sangat menarik! Disini Yeen akan sertakan tiga keistimewaan dan keunikan menjadi pelajar asasi di UPM.
Pertama sekali, Asasi Sains Pertanian UPM ini mewajibkan pelajarnya mengambil subjek Sains Pertanian dan subjek ini sangat seronok apabila anda semua perlu terlibat dengan aktiviti ladang pada waktu petang!! Waktu amali pertanian adalah masa yang paling terbaik untuk menghilangkan segala tekanan dan merehatkan fikiran! Waktu amali anda akan belajar contohnya berkenaan merumput, bercucuk tanam dan juga ada lawatan ke kilang pemprosesan seperti Yakult. Ya, Yeen mengaku kalau waktu dalam kuliah agak bosan dan mengantuk tetapi waktu amali selama 3 jam memang menyeronokkan! Cuma bagi perempuan-perempuan yang cantik dan tidak suka akan aktiviti luar, anda akan kurang selesa kerana cuaca yang panas terik justeru jangan lupa untuk memakai krim pelindung matahari atau topi! Oh tetapi semester 1 sahaja lebih kepada amali luar manakala kalau semester 2, anda hanya belajar tentang perniagaan yang bosan dan kurang menarik bagi ayin kerana tiada aktiviti luar seperti amali ladang.
Kedua, keunikan yang anda peroleh jika anda dapat menjadi pelajar asasi ialah anda akan melalui pengalaman berebut bas yang ekstrem! Anda pasti akan berasa aneh kenapa Yeen katakan pengalaman ini menarik. Pengalaman berebut bas di upm ini bukan biasa-biasa kerana anda perlu berhempas pulas dan ada tenaga yang cukup untuk berebut dengan orang lain. Pelajar berebut bas ini diibaratkan seperti ikan di tasik Bukit Ekspo UPM yang berebut-rebut makan roti yang diberikan oleh para pelajar hahahahahahahaha. Tetapi apa yang menghairankan Yeen ialah apabila berebut bas, memang perempuan yang selalu 'over' haih eh tapi tidak juga. Yeen sendiri pernah kena tolak dengan perempuan dan apa yang Yeen geramkan ialah dia buat Yeen tersekat dan dihimpit di belakang orang lain dan sangat menyakitkan hati betul. Lelaki pula ramai yang tidak mahu mengaku kalah jadi mereka turut bertolak-tolakan dengan orang lain termasuk perempuan. Eh tetapi ada juga lelaki yang dimalukan kerana ditolak oleh perempuan hahahaha! Yeen ingat lagi seorang lelaki ini kerana dia yang paling teruk tolak orang dan sangat meminta tumbukan comel Yeen ye huh. Lagi satu, Yeen pernah berebut bas tetapi masih ditinggalkan juga sebanyak LIMA KALI! SAYA ULANG LIMA KALI!! Dugaan yang besar ye ketika Yeen berpuasa huhu.
Yang ketiga, keistimewaan yang ada ialah pelajar asasi sains pertanian sudah mempunyai tempat untuk ke Ijazah Sarjana Muda di UPM. Jadi, pelajar asasi tidak perlu risau tentang di mana mereka bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Namun yang demikian, adalah tidak wajar sekiranya anda fikir bahawa anda tidak perlu belajar dan mendapat keputusan yang elok untuk peperiksaaan untuk ke peringat ijazah. UPM adalah universiti nombor dua terbaik di Malaysia jadi kualiti pelajar amat dijaga justeru anda harus belajar sebaik mungkin supaya anda boleh melayakkan diri untuk mendapat BIDANG YANG DIMINATI! Kalau anda tidak layak, anda tidak akan dapat apa yang diminta tetapi ditawarkan dengan bidang yang berbeza. Okay, nanti anda boleh membuat 5 pilihan bidang yang dikehendaki tetapi tidak semestinya anda akan mendapat pilihan yang pertama contohnya macam Yeen, dapat pilihan yang terakhir iaitu Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Kepujian hehe. Tetapi, Yeen sudah reda dan menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka atas dorongan keluarga dan rakan-rakan, alhamdullilah. Yang paling penting sekurang-kurangnya Yeen berjaya masuk ke bidang yang ada di dalam senarai pilihan jadi itu pun sudah memadai dan baik. Kesimpulannya, perkara yang harus dititikberatkan oleh anda semua ialah pastikan anda membuat pilihan yang rasional dan paling dekat dengan hati semasa membuat pilihan bidang ke Ijazah Sarjana Muda.
Tuntasnya...
Eh! Sudah sampai ke penghujung?! Yeen ni bukannya hendak menceritakan berkaitan subjek yang ada, susah atau tidak untuk skor dan selanjutnya. Eee apa la Yeen ni.
Jangan risau, di sini Yeen sertakan laman web rasmi Asasi Sains Pertanian UPM. Anda boleh klik pautan di bawah.
https://asasi.upm.edu.my/akademik/program_pengajian/asasi_sains_pertanian-2026
Tetapi, disebabkan Yeen seorang yang rajin (izinkan saya angkat bakul ye hihi), Yeen akan cuba melengkapkan apa yang Yeen tidak kongsikan lagi. Asasi UPM ada dua semester dan anda akan belajar 6 subjek iaitu Biologi, Kimia, Fizik, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains Pertanian. Selepas itu, kalau sesiapa yang layak, anda akan mendapat elaun KPM hehe yang ini memang seronok ye. Satu semester anda akan mendapat sekali sahaja elaun tersebut. Selain itu, majoriti daripada pelajar AsPer akan tinggal di Kolej 13, tetapi Yeen tinggal di Kolej Mohd Rashid (sekarang dipanggil kolej 13b kalau tak silap). Seterusnya, anda akan mempunyai kuliah daripada pukul 8 pagi sehingga 5 petang kalau tidak silap Yeen hehe. Minta maaf semua saya ni cepat lupa sikit. Jadi, sememangnya jadual pelajar asasi sangat padat dan anda tidak perlu mengambil bahagian dalam kokurikulum. Yeen pasti anda semua boleh menghabiskan Asasi dengan jayanya jadi anda jangan risau(wink wink). Yeen batch asasi ketika Covid19 melanda (AsPer 15) jadinya Yeen menghabiskan semester 2 tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sangat menyedihkan. Untuk pengetahuan semua, Sabtu dan Ahad anda memang tidak ada apa-apa jadual spesifik jadi yang mana yang rumah berdekatan boleh pulang ke rumah contohnya macam Yeen hihi. Okay itu sahaja yang Yeen mampu untuk kongsikan. Yeen bukan salah seorang pelajar cemerlang dalam batch HAHAHAHHA tetapi Yeen tetap berpuas hati kerana keputusan semester 2 lagi baik daripada semester 1.
Kesimpulannya...haa ni baru betul kesimpulan hehe. Anda perlu belajar elok-elok dan mula membuat ulangkaji daripada awal semester untuk memahami pembelajaran sebaik mungkin. Selamat tinggal semua dan jangan lupa untuk kongsikan coretan Yeen berkaitan AsPer kepada rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang memerlukan kerana Yeen harap orang lain dapat manfaat daripada perkongsian Yeen yang ringkas ini. Babai muah muah <3
CATATAN YANG TELAH YEEN KONGSIKAN :)
Temuduga Bacelor Kaunseling dengan Kepujian UPM 2020
0 Ulasan